Nurhidayah Kini Admin IG Arwah Abam


Thursday, March 5, 2020

ADVERTISEMENT
KUALA LUMPUR: Isteri Allahyarham Abam Bocey, Siti Nurhidayah Mohd Ali menjelaskan akaun Instagram (IG) suami kini diselianya sendiri.

Nurhidayah berjanji akan berkongsi perkembangan anak mereka, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey yang berusia sembilan bulan, melalui akaun berkenaan, dari masa ke semasa.

“Mulai hari ini, akaun IG arwah dikendalikan saya, isterinya. Saya akan mengemaskini perkembangan anak atas permintaan ramai.

“Terima kasih atas doa kalian buat Hamzah dan saya selama ini... Terima kasih juga kepada mereka yang memberi kata semangat buat kami.

“Semoga Allah membalas segala kebaikan kalian,” katanya pada entri yang dimuat naik di IG diiringi foto bayinya.

Nurhidayah menyatakan dia mengekalkan nama asal akaun arwah suaminya, iaitu @abam_bocik buat sementara waktu.

“Sementara menunggu pertukaran kata kunci baharu diluluskan pentadbir IG, saya guna dahulu nama asal akaun,” katanya.

Pelawak terkenal, Abam atau nama penuhnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 32, meninggal dunia di kediamannya di Gombak, kira-kira jam 7 pagi pada 10 Februari lalu, dipercayai akibat demam panas.

Arwah Abam mendirikan rumah tangga dengan Nurhidayah pada 8 Disember 2017. - Berita Harian Online